PUCHONG: Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) mengesahkan seorang lelaki menceroboh kawasan larangan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pusat Bandar Puchong sebelum ditemui mati di landasan tren kira-kira 50 meter dari stesen berkenaan.

Rapid Rail dalam satu kenyataan hari ini menyebut berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), penceroboh itu dilihat memasuki kawasan stesen itu yang sudah menamatkan operasinya kira-kira jam 12.29 tengah malam tadi.

“Penemuan mayat kira-kira jam 7.24 pagi tadi.

“Ia secara tidak langsung memberi sedikit gangguan kepada operasi LRT laluan Sri Petaling apabila bekalan elektrik ke laluan berkenaan dihentikan seketika.

“Langkah itu bagi memudahkan proses pengalihan mayat oleh pihak polis,” katanya.

Menurut kenyataan itu, perkhidmatan tren terbabit kembali beroperasi seperti biasa bermula jam 9.03 pagi tadi.

Sementara itu, jurucakap Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) ketika dihubungi enggan mengulas lanjut sama ada lelaki itu dilanggar tren atau sebaliknya.

“Punca kematian masih disiasat pihak berkuasa,” katanya.

Advertisements