PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) meminta masjid di seluruh negara mengadakan solat hajat sejurus selepas solat Jumaat esok bagi memohon agar penularan gejala penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) reda dan tidak berpanjangan.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata ia juga bagi mendoakan kesejahteraan Malaysia sempena sambutan Bulan Kemerdekaan.

Katanya, pihaknya juga sudah meminta masjid utama di bawah kelolaan JAKIM iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin serta seluruh masjid dan surau Jumaat di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk turut menunaikan solat hajat berkenaan.

“JAKIM juga memohon kerjasama dan jasa baik pihak Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) di seluruh negara untuk turut sama mengadakan solat hajat pada tarikh dan masa yang dinyatakan di seluruh masjid dan surau di bawah seliaan agensi masing-masing.

“JAKIM juga menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk mematuhi saranan daripada Kementerian Kesihatan agar menjaga kebersihan diri dan persekitaran kerana penularan jangkitan HFMD sangat berkait rapat dengan amalan kebersihan diri dan persekitaran serta mutu kebersihan yang rendah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penularan HFMD boleh terjadi melalui sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh dan tinja kanak-kanak yang dijangkiti serta sentuhan pada permukaan dan alatan permainan yang tercemar dengan virus itu.

Setakat semalam, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata sebanyak 40,198 kes HFMD direkodkan di seluruh negara sejak Januari lalu.

Advertisements