KULIM: Tiga pasangan yang disyaki berkhalwat di hotel bajet sekitar daerah ini malam tadi, diarah menaiki van jenazah sebelum dibawa ke Balai Polis di sini, bagi membuat laporan dan rekod tangkapan.

Dalam serbuan Ops Bajet 2 yang dilakukan Pejabat Agama Daerah Kulim, Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) bermula jam 11.30 malam hingga 3 pagi itu, dua pasangan ditahan dalam keadaan mencurigakan di sebuah hotel di Lunas dan satu pasangan di Keladi.

Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Shariffudin Mat Saad, berkata pekerja hotel di Lunas pada mulanya enggan berkerjasama apabila mendakwa semua bilik di premis berkenaan kosong.

“Pemeriksaan di bilik kedua kemudian menemui satu lagi pasangan membabitkan remaja perempuan berusia 18 tahun dan lelaki berusia 19 tahun,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Kedua-dua pasangan pasangan terbabit mendakwa datang ke daerah ini untuk bersiar dan makan malam sebelum berehat di hotel berkenaan yang turut menyewakan bilik pada kadar RM25 sejam.

Anwar berkata, serbuan kemudian dilakukan di sebuah hotel bajet di Keladi, menemui seorang wanita berusia 23 tahun dan lelaki berusia 44 tahun tanpa ikatan perkahwinan sah.

“Semua pasangan yang ditahan dibawa menaiki van jenazah ke Balai Polis Kulim bagi membuat laporan tangkapan dan rekod.

“Kedua-dua hotel ini memang menjadi sasaran pasangan melakukan maksiat kerana mengenakan kadar sewa mengikut jam dan sudah sering diserbu pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, soal siasat awal ke atas remaja perempuan berusia 16 tahun juga mendapati dia yang tidak lagi bersekolah datang bersama pasangannya dari Selama, Perak ke Kulim bagi melakukan kegiatan tidak bermoral.

“Jika sabit kesalahan mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 25(a)(b)Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kedah 2014 kerana berkhalwat.

“Kita akan terus memantau kegiatan jenayah syariah di daerah ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat berlakunya maksiat boleh memaklumkan kepada kami,” katanya.

Advertisements