PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju pembayaran peringkat ketiga Bantuan Sara Hidup (BSH) 2018 dibuat mulai 15 Ogos bagi meringankan beban menyambut Aidiladha.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pembayaran berkenaan membabitkan hampir 4.1 juta penerima dengan anggaran peruntukan sebanyak RM1.6 bilion.

Beliau berkata, pembayaran itu menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan janji-janji Manifesto Pakatan Harapan.

“Walaupun Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sudah dimansuhkan, Kerajaan Persekutuan masih tidak mengalami kebankrapan seperti yang didakwa oleh kerajaan terdahulu, sebaliknya masih mampu terus memberi BSH tanpa hasil cukai berkenaan.

“Di samping itu, subsidi petrol sebanyak RM3 bilion sudah disediakan sehingga akhir tahun ini untuk menstabilkan harga RON95 dan diesel pada RM2.20 dan RM2.18 seliter sungguhpun harga minyak antarabangsa naik 42 peratus kepada AS$74 setong berbanding anggaran AS$52 setong sebelum ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, beliau menegaskan pembayaran RM1.6 bilion itu dibuat dalam keadaan kekangan kewangan kerana hutang Kerajaan Persekutuan yang mencecah RM1 trilion berikutan skandal kewangan 1MDB dan salah urus tadbir.

Guan Eng berkata, kerajaan berharap dengan pemberian BSH ini dapat membantu rakyat membeli barangan keperluan dan persiapan bagi menyambut Aidiladha nanti.

Menurutnya, pembayaran BSH akan dikreditkan terus ke akaun penerima masing-masing.

“Bagi penerima yang tiada nombor akaun, surat kelulusan akan diposkan terus ke alamat penerima dan seterusnya boleh ditunaikan di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) yang berhampiran.

“Ingin saya tekankan bahawa kerajaan akan cuba sedaya-upaya untuk memberikan keutamaan kepada rakyat, khususnya golongan yang kurang berkemampuan,” katanya.

Orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2716 atau emel kepada bsh@treasury.gov.my bagi sebarang pertanyaan lanjut.

Advertisements