SINGAPURA: “Makan secara sederhana, tetapi tidak perlu pantang tentang makanan,” nasihat Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Lee hari ini memuat naik ke laman Facebook foto beliau ketika mengunjungi Menteri Dalam Negeri Malaysia itu pada Khamis.

“Beliau semakin pulih di hospital di sini selepas menjalani pembedahan. Gembira pembedahan itu berjaya dan beliau beransur sembuh.

“Saya berkongsi dengan beliau nasihat daripada doktor saya sendiri semasa saya sedang sakit, makan secara sederhana, tetapi tidak perlu pantang tentang makanan. Saya masih ingat lagi… saya malah menikmati durian!” tulis beliau.

Lee turut mendoakan semoga Muhyiddin segera sembuh.

Pada 30 Julai, Timbalan Perdana Menteri Singapura Teo Chee Hean menziarahi Muhyiddin.

Muhyiddin baru-baru ini menjalani pembedahan untuk mengeluarkan ketumbuhan daripada pankreas beliau, yang berjaya dikesan pada peringkat awal.

Beliau kini bercuti sejak 12 Julai untuk menjalani rawatan susulan dan dijangka kembali bertugas dalam tempoh sebulan.

Advertisements