PUTRAJAYA – Setiausaha Negara Amerika Syarikat Micheal R. Pompeo hari ini bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan serta merumuskan lawatan kerja dua harinya ke Malaysia.

Pada pertemuan 30 minit yang berlangsung di Perdana Putra di sini, Pompeo turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah atas kejayaan besar Dr Mahathir memenangi pilihan raya umum (PRU) Mei lepas.

Pompeo yang tiba pada 9 pagi ini ditemani Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Kamala Shirin Lakhdhir.

Turut hadir Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya.

Pompeo adalah pegawai paling kanan Amerika Syarikat yang melawat Dr Mahathir sejak kemenangan PRU yang dipimpin beliau.

Pompeo tiba di Malaysia pada Khamis untuk memulakan lawatan lima harinya ke tiga negara Asia Tenggara.

Beliau terus berangkat ke Singapura selepas pertemuannya bersama Dr Mahathir bagi menghadiri Mesyuarat Menteri Luar Asean.

“Kunjungan ini akan memberi peluang kepada kedua-dua Malaysia dan Amerika Syarikat untuk membincangkan isu kepentingan hubungan dua hala, serantau dan antarabangsa dengan lebih luas,” menurut kenyataan Wisma Putra.

Amerika Syarikat menjalin hubungan diplomatik dengan Malaysia pada 1957 selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dari United Kingdom.

Washington DC dan Kuala Lumpur kemudian meningkatkan taraf hubungan dua hala kepada Perkongsian Komprehensif pada April, 2014.

Advertisements