KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Shahril Ridza Ridzuan sebagai Pengarah Urusan.

Beliau akan melaporkan diri untuk bertugas bermula 20 Ogos ini.

Khazanah dalam kenyataannya berkata, Shahril Ridza, 48, yang kini adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), telah memegang jawatan itu sejak 16 April 2013.

Sebelum itu, beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) di KWSP.

Sebelum menyertai KWSP, Shahril Ridza adalah Pengarah Urusan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), yang bertanggungjawab membangunkan KL Sentral menjadi salah satu pusat komersial utama di negara ini.

Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat di Pengurusan Danaharta Nasional Bhd yang terbabit dalam pemulihan korporat dan penstrukturan semula kredit berikutan krisis Kewangan Asia pada 1997.

Beliau juga adalah ahli Lembaga Pengarah Bukan Eksekutif di Media Prima Bhd, Malaysia Building Society Bhd (MBSB), Pengurusan Danaharta Nasional Bhd, MRCB dan IJN Holdings Sdn Bhd.

Shahril Ridza adalah pemegang Ijazah Sarjana (Kelas Pertama) dari Universiti Cambridge dan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Sivil (Kelas Pertama) dari Universiti Oxford, serta telah diterima masuk ke Bar Malaysia serta Bar England dan Wales.

Advertisements