KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar Sabah akan mengadakan lelongan awam bagi dua ekor buaya pada 6 Ogos ini.

Pegawai Perhubungan Awamnya Siti Nur’ain Ampuan Acheh berkata kedua-dua reptilia terbabit ditangkap di lokasi berbeza susulan aduan awam dalam tempoh tiga hari bulan lepas.

Buaya pertama sepanjang lapan kaki 11 inci merupakan buaya betina yang ditangkap pada 26 Julai di Kampung Sungai Anak, Kinarut manakala yang kedua adalah buaya jantan sepanjang 10 kaki ditangkap di sebatang sungai berhampiran Kelly Bay Resort, Tuaran pada 29 Julai, katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata kedua-dua reptilia berkenaan kemudian dibawa ke pusat pemulihan di Potuki untuk pemeriksaan sebelum dilelong, katanya.

Proses lelongan akan bermula pada 11.30 pagi dan harga lelongan untuk buaya jantan bermula pada RM1,000 manakala harga lelongan buaya betina bermula pada RM650, katanya.

 

Advertisements