PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan dakwaan ‘rompakan’ tabung amanah pembayaran tuntutan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM18 bilion oleh pentadbiran terdahulu, minggu depan.

Pegawai media Khairy, Raja Syahrir Raja Abu Bakar memaklumkan perkara itu menerusi WhatsApp kepada pihak media, hari ini.

“Dimaklumkan bahawa Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin akan membuat laporan kepada SPRM berkenaan dakwaan ‘rompakan RM18b’ oleh Menteri Kewangan pada minggu depan.

“Tarikh dan masa akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Bercakap di lobi Parlimen semalam, Khairy memaklumkan akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan SPRM berhubung dakwaan itu, hari ini.

Sebelum itu Khairy turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul berhubung dakwaan sama.

Katanya, laporan terbabit dibuat supaya siasatan telus dapat dijalankan terhadap individu berkaitan, termasuk bekas Menteri Kewangan.

“Siasat semua individu termasuk bekas Menteri Kewangan, pegawai tertinggi dan agensi berkaitan,” katanya.

Baru-baru ini Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendedahkan mengenai berlaku kekurangan RM18 bilion dalam dana amanah pembayaran balik GST dan mendakwa pentadbiran terdahulu menyalahgunakan wang itu.

Guan Eng juga mendakwa bayaran balik GST tertangguh sehingga dua tahun kerana pentadbiran terdahulu sudah ‘merompaknya’.

Katanya, tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST sejak 1 April 2015 hingga 31 Mei lalu berjumlah RM19.4 bilion.

Bagaimanapun, baki semasa dalam Tabung Bayaran Balik hanya RM1.49 bilion, bermakna berlaku kekurangan kira-kira RM18 bilion.

Advertisements