KUALA LUMPUR: MCA hari ini memuktamadkan akan guna logo parti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata ia diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat bahawa MCA memberi isyarat ‘sedar diri’ dan menerima hakikat bahawa parti itu perlu memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif.

Katanya, MCA memutuskan untuk ‘berdiri atas kaki sendiri’ dan akan bergerak bersama rakyat untuk menggunakan logo parti pada PRK Balakong.

“MCA perlu melepaskan sejarah kegemilangan politik dan berdepan dengan pilihan raya menggunakan logo parti. MCA perlu membentuk semula barisan politik parti dan menentukan hala tuju parti mengikut acuan identiti parti selain mengembalikan maruah serta dasar parti.

“Ini (guna) logo MCA adalah keputusan akar umbi MCA yang terbabit secara langsung dan tidak langsung, yang mahu MCA menggunakan bendera dan logo parti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat ke-33 MCA di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Tiong Lai berkata keputusan MCA untuk menggunakan logo parti sudah mendapat kelulusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ketika ditanya sama ada keputusan MCA menggunakan logo sendiri mendapat pengesahan daripada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Tiong Lai mendakwa akan bertemu pemimpin itu dalam masa terdekat.

Sementara itu, Tiong Lai berkata calon MCA PRK Balakong sudah disenarai pendek dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Selain itu, Tiong Lai mengumumkan Pengerusi Jawatankuasa PRK Balakong akan disandang oleh Datin Paduka Chew Mei Fun dan dipantau oleh Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Kerusi DUN itu kosong selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Eddie Ng, meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Secara tradisinya, kerusi Balakong adalah kerusi MCA tetapi bertukar menjadi kubu kuat DAP sejak 2008.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Eddie Ng mengekalkan kerusi DUN Balakong untuk penggal kedua selepas menewaskan calon BN dan PAS dengan majoriti 35,538 undi.

Advertisements