KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menyangkal tuduhan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kononnya Barisan Nasional (BN) merompak RM18 bilion hasil daripada wang tuntutan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan menyifatkannya sebagai kenyataan politik yang tidak berasas.

Beliau mendakwa, kerajaan mungkin sudah membelanjakan wang dalam akaun Kumpulan Wang Amanah Disatukan, yang sepatutnya disalurkan kepada akaun amanah tuntutan GST, bagi menampung perbelanjaan bulanan.

“Semua kutipan cukai dan pendapatan lain termasuk GST dibayar terus ke dalam Kumpulan Wang Amanah Disatukan kerajaan dan dari situ, dana kemudian dibayar ke dalam akaun amanah tuntutan GST setiap bulan bagi memenuhi keperluan pembayaran tuntutan secara berterusan.

“Ini dibenarkan oleh undang-undang dan memenuhi peruntukan Akta GST 2014, yang dibentangkan di Parlimen di mana pemimpin Pakatan Harapan (PH) juga hadir termasuk Guan Eng sendiri dan sudah tentu beliau tahu.

“Justeru, tiada wang atau dana ‘dirompak’ kerana kutipan wang GST semua dimasukkan ke dalam akaun Kumpulan Wang Amanah Disatukan,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasmi beliau hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu lagi, menerusi sistem GST, pemilik perniagaan boleh menuntut cukai input GST apabila mereka membuat jualan, mengutip GST daripada pengguna akhir dan membayar GST yang dikutip kepada kerajaan.

Kata Najib, apa yang mungkin terjadi ialah apabila kerajaan mensifarkan GST pada 1 Jun 2018, pemilik perniagaan boleh menuntut kesemua cukai input GST mereka serta merta, menyebabkan semua peniaga meluru untuk membuat tuntutan cukai input GST, sama ada mereka membuat jualan atau sebaliknya.

Katanya, kerajaan kehilangan pendapatan selama tiga bulan apabila GST disifarkan manakala Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pula belum lagi dilaksanakan.

“Akibatnya, kerajaan kini mengalami kesukaran untuk membayar tuntutan GST yang begitu banyak serta dibuat sekali gus dan memerlukan seseorang untuk dipersalahkan.

“Sebagaimana biasa, kesalahan itu dituding ke arah kerajaan BN walaupun ia adalah kesilapan kerajaan PH sendiri,” katanya.

Tambah Najib lagi, dakwaan kononnya BN ‘merompak’ RM18 bilion wang GST mungkin dapat dimasukkan sekali dengan ‘hutang negara RM1 trilion’, digunakan sebagai alasan PH untuk tidak melaksanakan janji manifesto mereka, membatalkan atau mengurangkan bantuan kepada rakyat atau membayar tuntutan GST kepada pemilik perniagaan.

Katanya, memandangkan laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah dibuat selain Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) turut menyatakan akan membuat siasatan terhadap dakwaan ‘rompakan’ RM18 bilion itu, beliau sedia memberi kerjasama sepenuhnya sebagai bekas Menteri Kewangan supaya kebenaran dapat didedahkan.

Katanya, jika dakwaan itu tidak benar, Guan Eng memperdaya Parlimen kerana membuat tuduhan serius itu dan berharap Speaker Dewan Rakyat tidak lagi melindungi Menteri Kewangan berkenaan kerana dewan yang mulia itu bukanlah tempat atau ruang bagi membuat dakwaan tidak berasas dan tuduhan bermotifkan politik.

“Ia sama seperti bagaimana Guan Eng membisu dan tidak berani memberi jawapan kepada syarikat paip gas milik kerajaan China yang membuat kenyataan global bahawa Guan Eng dan Tony Pua menipu dan cuba memfitnah mereka dengan mendakwa syarikat itu berpakat dengan kerajaan BN dalam ‘pengubahan wang haram,” katanya.

Advertisements