PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memaklumkan hanya RM63.5 bilion pembayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dibuat bagi tempoh 1 April 2015 hingga 31 Mei tahun ini.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T Subromaniam, berkata bagi tempoh berkenaan, pihaknya menuntut RM82.9 bilion daripada Mesyuarat Tabung Amanah Bulanan untuk tujuan pembayaran balik GST, tetapi jumlah penuh tidak dipindahkan ke Tabung Amanah berkenaan.

Katanya, jumlah yang diperlukan itu adalah berdasarkan kepada Borang GST-03 (untuk menuntut bayaran balik GST) yang sudah difailkan ke dalam sistem GST JKDM oleh pembayar cukai.

“Dalam tempoh 1 April 2015 sehingga 31 Mei 2018, JKDM sudah melaporkan dalam Mesyuarat Tabung Amanah Bulanan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan bahawa keperluan pulangan balik GST adalah berjumlah RM82.9 bilion.

“Namun hanya RM63.5 bilion pembayaran balik GST sudah dibayar melalui Tabung Amanah bagi sepanjang tempoh yang sama.

“Oleh itu, pada 31 Mei 2018, Tabung Amanah masih memerlukan dan mengalami kekurangan untuk membayar tunggakan bayaran balik cukai GST sebanyak RM19.4 bilion,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, tabung amanah adalah satu Kumpulan Wang yang diwujudkan bagi tujuan pembayaran balik GST mengikut Seksyen 54, Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (2014).

“Semua bayaran GST dimasukkan ke dalam Akaun Kumpulan Wang Disatukan yang kemudian akan dipindahkan kepada Tabung Amanah untuk membolehkan pembayaran balik GST dilaksanakan,” katanya.

Advertisements