KANGAR: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, sekali lagi mengajak peguam kontroversi, Siti Kasim untuk berdialog secara terbuka berhubung isu golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Beliau berkata, Siti Kasim hanya membuat ‘bising’ dalam isu LBGT, seolah-olah sokongan daripada aktivis hak asasi manusia itu dan golongan LGBT sahaja yang menyebabkan kerajaan hari ini dapat memerintah.

“Dahulu Puan Siti Kasim kita jemput untuk satu majlis dialog terbuka mengenai isu Islam di Malaysia.

“Beliau enggan hadir sedangkan ia satu dialog yang adil selaras dengan semangat Malaysia baharu yang ingin menjadikan dialog matang sebagai pentas penyuburan pemikiran rakyat.

“Hari ini beliau bising lagi pasal LGBT, seakan-akan undi beliau dan golongan LGBT sahaja yang menyebabkan kerajaan hari ini memerintah,” katanya kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook DrMAZA.com, hari ini.

Mohd Asri berkata, bahasa yang digunakan Siti Kasim sangat tidak matang jika mahu diukur dari nilai budaya masyarakat timur dan nusantara yang santun dan berbudi bahasa.

Beliau bimbang jika watak dipertontonkan oleh Siti Kasim dilihat oleh kanak-kanak.

“Sekali lagi, saya mencadangkan supaya Siti Kasim dibawa ke pentas dialog terbuka isu LGBT ini dan saya harap ada pihak yang boleh menganjurkan dialog itu.

“Saya percaya terdapat ramai tokoh ataupun aktivis masyarakat yang boleh dipilih untuk mewakili suara majoriti rakyat yang tidak menerima LGBT. Mungkin Ustaz Salman Ali juga masih bersedia untuk dialog berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya tiada penganjur, pihaknya sedia menjemput Siti Kasim untuk dialog yang akan diadakan secara terbuka dan adil di Perlis.

Advertisements