KANAK-KANAK lelaki berusia lima tahun maut selepas ditetak di kepala dan tangan dengan parang oleh bapanya dalam kejadian di rumah di Blok 11A Flat Puchong Permai, Subang Jaya, petang semalam.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang tidur di atas tilam di bahagian ruang tamu rumah mereka di tingkat 4 flat berkenaan sebelum suspek berusia 35 menetaknya sebanyak tiga kali dengan parang.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, kejadian itu disedari seorang penduduk yang menyangkakan kanak-kanak itu jatuh dari tingkat 4 flat berkenaan sebelum melaporkannya pada polis pada 5.45 petang.

 

“Selepas membunuh mangsa, suspek dikatakan meletakkan mayat anaknya itu di luar pintu rumah sebelum dia mengurungkan diri di dalam.

“Polis yang menjalankan siasatan mendapati mangsa sebenarnya mangsa pembunuhan selepas menemui kesan tetakan pada kepala dan pergelangan tangan kanannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, suspek mengaku membunuh mangsa selepas mendakwa mendengar suara ghaib menyuruhnya berbuat demikian.

“Siasatan mendapati suspek adalah peminum tegar air ketum selain saringan ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine (syabu).

 

“Suspek sudah ditahan dan kami turut menemui parang digunakan dalam kejadian itu. Kes dianggap selesai,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Advertisements