KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan dan negeri di Semenanjung Malaysia bakal berhadapan cuaca panas dan kering sepanjang Ogos sehingga pertengahan September ini, demikian menurut laporan dalam laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia.

Menurut laporan tersebut, fenomena itu berlaku akibat fasa monsun Barat Daya yang mendominasi keadaan cuaca negara sepanjang tempoh berkenaan.

“Sepanjang Ogos, kebanyakan tempat di Semenanjung akan menerima hujan pada paras normal dengan jumlah 150mm hingga 250mm kecuali di beberapa tempat di Perak (tengah hingga selatan), Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka menerima hujan sedikit di bawah paras normal antara 100mm dan 150mm.

“Namun hujan lebat, ribut petir berserta angin kencang boleh berlaku di kawasan perairan pantai barat Semenanjung Malaysia pada awal pagi berikutan pembentukan garis badai yang dikenali sebagai ‘Sumatras’,” menurut laporan itu.

Pada September, kebanyakan tempat di Semenanjung Malaysia dijangka menerima jumlah hujan pada paras normal antara 150mm dan 250mm.

Menurut laporan tersebut, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang serta beberapa kawasan di pedalaman Semenanjung Malaysia dijangka menerima hujan antara 250mm dan 350mm.​​​​​​​

Bagi Oktober pula, fenomena fasa peralihan monsun diramalkan bermula dengan keadaan cuaca lembab dengan hujan dan ribut petir serta angin kencang dijangka berlaku pada lewat petang dan awal malam terutama di negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung, pantai barat Sabah serta kawasan barat dan tengah Sarawak.

“Fenomena ini akan menyaksikan beberapa tempat di Semenanjung seperti Kedah, Pulau Pinang, utara Perak, pedalaman Kelantan dan Pahang dijangka menerima taburan hujan melebihi paras normal 400mm,” katanya.

Ramalan itu juga merekodkan beberapa siri hujan lebat menyeluruh diramalkan berlaku terutama di negeri pantai timur Semenanjung dan barat Sarawak bermula November hingga Mac 2019 akibat Monsun Timur Laut yang secara konsisten membawa angin dari timur laut dengan kelajuan antara 10 dan 20km sejam.

Advertisements