KUALA LUMPUR: Saranan supaya bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, menjarakkan diri daripada parti dilihat relevan ke arah melancarkan transformasi kepemimpinan baharu.

Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata konsep itu diamalkan Tun Dr Mahathir Mohamad selepas berundur, selain tidak mencampuri urusan parti ketika diterajui Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Walaupun ketika itu Dr Mahathir adalah Ahli Parlimen Kubang Pasu, beliau mengundur diri 100 peratus, sekali gus membolehkan Abdullah memimpin parti dengan baik dan membawa kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum 2004.

“Sekarang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah menjadi Presiden dan saya setuju dengan KJ (Khairy Jamaluddin) bahawa sebenarnya Najib mesti ikut apa yang sudah dilakukan Tun Mahathir dan Pak Lah.

“Kena bagi ruang sepenuhnya kepada Zahid sebagai presiden baharu. Sudah tentulah beliau (Ahmad Zahid) segan nak cakap, ini bukan soal setia atau tidak setia,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan beberapa pemimpin UMNO supaya parti itu menjauhkan diri daripada bekas pemimpinnya yang menghadapi kes mahkamah.

Mohamed Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas, berkata tindakan Najib terus mencampuri urusan parti termasuk turun padang berkempen menyebabkan parti itu turut terpalit dengan kes dihadapinya.

“Kita susah selagi terus dibayangi Najib, jadi beliau mesti faham dan mengikut jejak Tun Mahathir dan Pak Lah.

“Maknanya jauhkan diri terus supaya Datuk Seri Ahmad Zahid boleh memimpin parti kerana ini bukan soal kesetiaan.

“Saya percaya Tun Mahathir dan Pak Lah sayangkan parti, sebab itu mereka menjauhkan diri, takut-takut ada stigma mereka terpalit pada parti,” katanya sambil menambah tidak mempunyai masalah menyokong kepemimpinan Dr Mahathir.

Dr Mahathir melepaskan jawatan Presiden UMNO pada Jun 2003 sebelum menyerahkan teraju pentadbiran negara kepada Abdullah pada 31 Oktober 2003.

Advertisements