KUALA LUMPUR: “Saya sudah minta maaf dengan ikhlas dan menarik balik perkataan kurang sopan itu.

“Speaker terima dan memberi saya amaran, maka mengapa perlu ada usul sebegini?”.

Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-UMNO Kinabatangan) menyifatkan tindakan kerajaan mengemukakan usul merujuknya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan sebagai janggal, seolah-olah tidak mengiktiraf dan melangkaui keputusan Speaker Dewan Rakyat.

Bung Moktar berkata, kerajaan seolah-olah bertindak berat sebelah dan meminta supaya diberi layanan lebih adil.

“Ada juga penyokong kerajaan mengeluarkan perkataan tidak sopan tetapi tidak diambil tindakan.

“Hari ini saya lihat ada usul (merujuk beliau ke jawatankuasa) akan diketengahkan kerajaan dan jika ada undi, memang kalahlah.

“Mengapa kerajaan mahu melangkaui kuasa Speaker Dewan Rakyat? Dalam hal ini saya minta Speaker Dewan Rakyat tegas menentukan hala tuju Dewan Rakyat.

“Mana-mana pihak tidak seharusnya melangkaui keputusan Speaker hingga menjejaskan integriti Dewan Rakyat itu sendiri,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Mengikut Aturan Mesyuarat dan Usul-Usul Dewan Rakyat hari ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mencadangkan Ahli Parlimen Kinabatangan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas perbuatan yang dianggap menghina Majlis.

Usul itu menyatakan, Dewan memandang serius perbuatan Bung Moktar kerana penggunaan perkataan kurang sopan olehnya menyinggung Ahi Parlimen terutama wanita kerana mencemari prestij dan nama baik Dewan.

Bung Moktar berkata, permohonan maafnya kerana mengeluarkan perkataan kurang sopan ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Cukai Jualan 2018 pada Selasa minggu lalu, diterima oleh Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof serta dua timbalannya.

Pada 9 Ogos lalu, Bung Moktar diberi amaran diarah keluar Dewan jika mengulangi tindakan mengeluarkan perkataan lucah, biadab dan tidak sopan sepanjang persidangan.

Mohamad Ariff membuat ketetapan itu berikutan keceluparan Bung Moktar mengeluarkan perkataan mencarut ketika mencelah ucapan Khairy Jamaluddin (BN-UMNO Rembau) dalam perbahasan RUU Cukai Jualan 2018, 7 Ogos lalu.

Speaker dilaporkan berkata, walaupun Bung Moktar memohon maaf dan menarik balik perkataan dikeluarkannya, perbuatannya tetap salah kerana tidak menghormati dan mencemar kemuliaan Dewan Rakyat serta melanggar Peraturan Mesyuarat 36(4).

Advertisements