KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menafikan dakwaan sebuah akhbar mengatakan beliau bakal mengosongkan kerusinya bagi memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, beliau tidak tahu-menahu berhubung perkara tersebut dan tidak menerima sebarang maklumat berkaitan isu berkenaan.

”Saya tak pernah dengar, saya tak diberikan apa-apa maklumat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen, Khamis.

Dalam pada itu, ketika ditanya adalah beliau bersedia untuk mengosongkan kerusi tersebut jika diarahkan, Pengarah Komunikasi PKR ini memaklumkan beliai sedia mengikut arahan parti.

“Saya dah sebut sebelum ini. Mana-mana ahli parti sedia mengikut arahan parti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar yang memetik sumber kemungkinan beliau akan dinamakan sebagai calon PKR bagi Dun Seri Setia yang dijangka diumumkan malam ini.

Sumber tersebut berkata, kerusi Lembah Pantai dikosongkan bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding dan seterusnya memasuki Parlimen.

 

Advertisements