MENJELANG 100 hari pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebagai Kerajaan Persekutuan, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman mengumumkan keputusan Kabinet memansuhkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN), berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu sememangnya dijangka kerana PLKN sebelum ini pun sudah melalui fasa semakan peranan dan kesan perbelanjaannya kepada kerajaan. BTN pula yang sudah menjangkau usia hampir tiga dekad tidak begitu disenangi hala tujunya oleh kepemimpinan kerajaan baharu.

Begitupun, agak melegakan apabila Syed Saddiq memberi jaminan nasib pegawai serta kakitangan di bawah dua entiti berkenaan, termasuk yang berstatus kontrak akan terus dipelihara termasuk dibayar gaji selain diserapkan ke dalam kementeriannya.

PLKN diperkenalkan pada 2004 oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ditambah baik pada 2016 menjadi PLKN 2.0 yang mengandungi dua fasa.

Fasa 1 PLKN 2.0 memerlukan pelatih mengikuti Program Pembelajaran Bersepadu (ILP) selama lapan minggu dalam kem dan masih menerapkan elemen teras PLKN 1.0, iaitu patriotisme (cinta negara) serta perpaduan dan kesukarelaan dengan suntikan elemen baharu, iaitu kemahiran.

Bagi mengukuhkan elemen kemahiran, pelatih ditawar melanjutkan latihan ke Fasa 2, iaitu latihan kemahiran teknikal di institut latihan kemahiran awam atau swasta selama tiga hingga 36 bulan, bergantung kepada bidang kemahiran yang dipilih.

BTN pula antara unit di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang ditubuhkan pada 1981 untuk memupuk semangat patriotisme, membina sikap berteraskan nilai murni dan penghayatan cintakan negara dalam kalangan rakyat.

Keputusan mengejutkan

Bekas menteri, Tan Sri Dr Rais Yatim dalam reaksinya terhadap perkembangan itu menyifatkan keputusan memansuhkan BTN adalah mengejutkan kerana biro berkenaan diwujudkan pada 1981, ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri kali pertama.

Timbul persoalan, adakah BTN gagal atau sudah menyimpang daripada fungsi sebenarnya sehingga membawa kepada pembubarannya oleh pentadbiran baharu atau adakah kerana tuduhan ia mengandungi elemen perkauman menjadi punca.

Rais juga mempersoalkan kenapa rakyat tidak dimaklum apa sebenarnya punca penutupan BTN secara mengejut itu, adakah kerana kandungan terasnya hanya menyebelahi satu kaum, iaitu Melayu.

“Mungkin juga ia tuntutan politik kerajaan baharu kerana kita sedia maklum sebelum ini, DAP dan PKR mencurigai peranan BTN yang kononnya menerapkan amalan perkauman. Namun, itu jangkaan saya,” katanya sambil meminta kerajaan memberi huraian lengkap punca pembubaran itu bagi mengelak kekeliruan rakyat.

Tanda tanya juga timbul sama ada peranan BTN melakukan pembaharuan dalam menzahirkan semangat membina jati diri dan kenegaraan sudah gagal selepas ia didakwa turut menyuntik doktrin politik dalam modulnya.

Isu BTN dan penerapan doktrin politik terjawab apabila bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengakui program biro itu berunsur menyuntik doktrin politik dalam modul kursusnya, manakala PLKN fasa awal juga ada unsur sama, namun tidak begitu ketara.

“Untuk PLKN 2.0 tidak (tiada doktrin politik) sebab lebih kepada kenegaraan, kemahiran yang dicantumkan dengan objektif perpaduan tatanegara. PLKN 1.0 tak ada sangat (doktrin politik) tapi ada kelompongan dari segi tidak cukup kemahiran, ia lebih kepada ketenteraan, disiplin dan sebagainya,” katanya.

Apa yang diharapkan, program baharu yang dicadang bagi menggantikan PLKN dan BTN harus bebas pengaruh politik dan seharusnya lebih baik, khususnya yang menjurus kepada ketamadunan dan penerapan nilai budi yang mengajar generasi muda berdikari dan pandai membalas budi.

Advertisements