PETALING JAYA: Seorang bapa yang menetak anak lelakinya berusia lima tahun menggunakan parang sehingga maut di sebuah rumah di Flat Puchong Permai minggu lalu, di dakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh.

Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil daripada tertuduh, Mohd Faih Rifin, 36, sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Tertuduh yang juga Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) itu tenang dan hanya tunduk di dalam kandang tertuduh serta mengangguk faham.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Muhammad Waiz Wazzini di No A11-4-40 Blok 11A Flat Puchong Permai 1/6 , Taman Puchong Permai, Subang Jaya, jam 2.30 hingga 5.30 petang pada 14 Ogos lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika disabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 16 Oktober ini sebagai sebutan semula kes bagi laporan forensik dan perubatan.

Pendakwaan kes dikendalikan Mohamad Firdaous Mohamed Idris, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Media melaporkan kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut selepas ditetak di kepala dan tangan dengan parang oleh bapanya dalam kejadian di rumah di Blok 11A Flat Puchong Permai, Subang Jaya.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang tidur di atas tilam di bahagian ruang tamu rumah mereka di tingkat empat flat berkenaan sebelum suspek menetaknya sebanyak tiga kali dengan parang.

Lelaki itu mengaku membunuh anaknya selepas mendakwa mendengar suara ghaib menyuruhnya berbuat demikian dan siasatan mendapati suspek adalah peminum tegar air ketum selain saringan ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine (syabu).

Advertisements