KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara dari Barisan Nasional (BN) memberi bayangan Rang Undang–Undang (RUU) Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) akan diluluskan Dewan Negara, hari ini.

Beberapa Senator BN yang ditemui berkata, sama ada menyokong atau tidak, SST akan tetap boleh dilaksanakan selepas 30 hari dibentang dan dibahaskan di Dewan Negara.

Mereka juga berpendirian tiada keperluan untuk ‘menyukarkan’ perjalanan SST dilaksanakan kerana ia membabitkan kepentingan rakyat yang memilih Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Suhaimi Abdullah berkata, BN tidak akan mensabotaj RUU SST kerana ia adalah akta kewangan yang membabitkan kepentingan kerajaan.

“Memang kita pro kepada GST tetapi kalau kita menolak SST, rakyat juga yang akan menerima akibatnya.

“Kami di Dewan Negara tidak boleh berpolitik seperti itu. Lagi pun rakyat sudah memberi mandat kepada PH, kita perlu hormat keputusan rakyat,” katanya kepada NSTP di lobi Parlimen, hari ini.

Sementara itu, Datuk Fahariyah Md Nordin berkata, SST akan tetap diluluskan Dewan Negara walaupun ahli majoriti menolak RUU berkenaan.

Katanya, kerajaan tetap dapat meluluskan RUU itu tanpa kelulusan Dewan Negara melalui perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Apabila membabitkan akta kewangan, sama ada Dewan Negara terima atau tolak, ia akan tetap dilaksanakan kerana boleh terus (dibawa) kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Cuma apa yang kita hendak, tidak perlu mansuhkan GST, tetapi kurangkan kadarnya mungkin kepada tiga peratus,” katanya.

Advertisements