PUTRAJAYA: Keputusan kerajaan membatalkan saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) membabitkan nilai RM435 juta disebabkan penjanjian berat sebelah antara kerajaan terdahulu dengan dua syarikat konsesi yang mengendalikan sistem itu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata kerajaan juga tidak memperoleh sebarang keuntungan daripada kutipan saman sebaliknya ia dibayar sepenuhnya kepada dua syarikat konsesi itu iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd.

Katanya, semua saman tertunggak itu dibatalkan kerana kerajaan tidak bersetuju penguatkuasaan diswastakan kepada dua syarikat konsesi berkenaan.

“Ini berikutan kerajaan terdahulu sudah mengurangkan kadar saman AES daripada RM300 kepada RM150, kerajaan terikat untuk menyerahkan sepenuhnya hasil kutipan kepada dua syarikat pengendali sistem itu.

“Berdasarkan perjanjian, dua syarikat berkenaan berhak mendapat dua tier bayaran daripada kerajaan iaitu RM16 untuk setiap saman dan tier kedua adalah 50 peratus dari nilai sebenar saman RM300.

“Bagi mereka yang mempersoalkan kerajaan hilang sumber pendapatan (batalkan saman tertunggak), ia tidak hilang pun sebab kalau kutip, kita tidak dapat pun hasil dan tidak masuk dalam dana kerajaan kerana sejak 2012 hingga Mei lalu, sejumlah RM129 juta sudah dibayar kepada dua syarikat ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Jumaat lalu, Siew Fook berkata, semua saman AES berjumlah 3.1 juta membabitkan nilai RM435 juta yang belum dibayar sejak AES dilaksanakan pada 2012 dibatalkan.

Selain itu, katanya sistem berkenaan akan diambil alih sepenuhnya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1 September ini, selepas kerajaan memutuskan untuk tidak menyambung kontrak dengan dua syarikat konsesi iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd.

Dalam pada itu Siew Fook berkata, mereka yang terbabit dalam menandatangani perjanjian penswastaan AES bersama dua syarikat berkenaan adalah orang bodoh kerana kerajaan tidak mengutip sebarang hasil daripada perjanjian itu.

“Saya boleh terima kritikan sesiapa tetapi saya tidak boleh terima kritikan daripada MCA terutamanya (Datuk Seri Dr) Wee Ka Siong yang berkata tidak adil kepada orang yang sudah membayar saman.

“Tetapi bekas Menteri Pengangkutan (Tan Sri Kong Cho Ha) yang menandatangani perjanjian ini dan kenapa (Presiden MCA yang juga bekas Menteri Pengangkutan) Datuk Seri Liow Tiong Lai membiarkan saman ini tertunggak yang menunjukkan beliau tidak serius dan tidak buat apa-apa pun.

“Kepada pemimpin MCA, sebelum bercakap, sila guna otak dahulu kerana apa dikatakan itu yang akan kembali kepada Menteri Pengangkutan dari MCA kerana tidak telus untuk memberitahu butiran perjanjian kepada rakyat,” katanya.

Selain itu Siew Fook turut membidas pemikiran tidak matang pengguna jalan raya yang beranggapan boleh memandu melebihi had laju sebelum penguatkuasaan AES bermula 1 September ini.

“Dua minggu boleh memandu laju? Ini pemikiran tidak matang kerana penguatkuasaan bukan sahaja pada JPJ tetapi juga polis trafik.

“Saya sudah arahkan Ketua Pengarah JPJ mingggu lalu untuk memaklumkan polis bagi mempertingkatkan penguatkuasaan sepanjang tempoh terbabit,” katanya.

Advertisements