KUALA LUMPUR : Sistem Televisyen Malaysia Bhd (TV3) dan calon Barisan Nasional bagi Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-13 Datuk Dr Mazlan Ismail mencadangkan bagi penyelesaian di luar mahkamah saman terhadap mereka, dan satu pihak lagi, oleh pemimpin PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Anwar, ketika ditemui pemberita berkata kedua-dua defendan mengemukakan cadangan bagi penyelesaian di luar mahkamah itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datin Faizah Jamaludin.

“Kami telah mengemukakan cadangan balas. Termanya kini dalam proses diselesaikan oleh kedua-dua defendan dan pihak kami,”, katanya dan menurutnya defendan ketiga Utusan Melayu (M) Bhd) telah dinasihatkan untuk mendapatkan arahan sama ada mahu selesaikannya ataupun tidak.

Beliau berkata mahkamah menetapkan Jumaat ini untuk mereka kembali bagi merekodkan penyelesaian itu.

Saman itu dijadualkan untuk perbicaraan hari ini.

Sementara itu, peguam Azhar Arman Ali yang mewakili Utusan Melayu berkata perbincangan berkaitan cadangan penyelesaian di luar mahkamah itu tidak membabitkan anak guamnya.

“Saya diminta mendapatkan arahan daripada Utusan berhubung pendirian akhbar itu,” katanya.

Anwar, yang hadir di mahkamah hari ini, memfailkan saman itu pada 15 Okt, 2015, mendakwa ketiga-tiga defendan mendakwa beliau merasuah hakim dan pendakwa raya.

Beliau mendakwa Mazlan telah mengadakan sidang media dan pada ketika itu mengeluarkan perkataan memfitnah berkenaan yang kemudian telah disiarkan TV3 dalam Buletin Utama pada 8 malam, 2 Ogos, 2013 dan oleh Utusan Melayu dalam akhbar Utusan Malaysia pada keesokkannya.

Anwar mendakwa defendan telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya dalam sidang media, yang membawa maksud beliau seorang tidak beretika, rasuah, tidak amanah dan tidak bermoral.

Anwar memohon ganti rugi am, teruk dan injunksi untuk menghalang defendan daripada mengulangi atau menerbitkan semula perkataan memfitnah itu.

Mazlan ialah calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang diadakan pada Mei 2013. Beliau kalah. 

Advertisements