SEREMBAN: Seorang peniaga kuih mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan membeli buah durian menggunakan enam keping wang palsu RM100, awal bulan ini.

Tertuduh, Ridzuan Mat Nor, 35, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim G. Ramesh.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan empat keping RM100 yang dalam pengetahuan ia adalah palsu untuk membeli buah durian pada 3 Ogos kira- kira 11.30 pagi, di sebuah kedai di Jalan Lenggeng – Broga Pekan Ulu Beranang.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan dua keping RM100 yang dalam pengetahuan wang itu adalah palsu untuk membeli buah durian pada 9 Ogos kira-kira 9.30 pagi, di Jalan Kampung Tengah, Lenggeng dekat sini.

Kesalahan dilakukan tertuduh mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda, jika disabit kesalahan.

Kes dikendali Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak manakala tertuduh diwakili Peguam A. Partheeban.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Sept depan untuk sebutan semula kes. 

Advertisements