BEIJING: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta China supaya bersimpati dengan masalah fiskal dihadapi Malaysia dan berharap dapat membantu menyelesaikannya.

Bercakap pada sidang media bersama dengan Perdana Menteri China, Li Keqiang di sini, Dr Mahathir berkata, beliau gembira dengan komitmen China untuk membeli lebih banyak barangan Malaysia terutama minyak sawit.

Namun, katanya beliau juga berharap China memahami masalah semasa yang dialami Malaysia.

“Saya telah beritahu dan percaya China akan simpati dengan masalah fiskal dalaman yang perlu diselesaikan Malaysia, dan berharap dapat membantu menyelesaikannya,” katanya.

Dr Mahathir sebelum ini menyatakan kerajaan sedang mengkaji kemungkinan membatalkan atau merundingkan semula pelaksanaan dua projek mega utama yang disokong oleh pembiayaan daripada China. Projek itu ialah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP).

Ini kerana, kedua-duanya terutama ECRL yang bernilai RM81 bilion, yang diluluskan kerajaan terdahulu dikatakan akan membebankan negara dan rakyat dengan hutang yang besar.

Pada sidang media bersama sempena lawatan rasmi lima harinya ke negara kuasa ekonomi kedua terbesar dunia itu, Dr Mahathir menegaskan mengenai kepentingan hubungan kerjasama antara Malaysia-China.

Namun, katanya ia perlu diperluaskan lagi ke dalam bidang lain selain perdagangan.

“Saya dapati China mempunyai ramai usahawan hebat dan inovatif yang membawa idea baharu dalam menjalankan perniagaan yang boleh dilaksanakan di Malaysia. Kita akan menghantar orang untuk belajar bagaimana untuk mengaplikasikannya dalam industri dan perdagangan,” katanya sambil memberi contoh pengasas Alibaba Group, Jack Ma yang telah membawa e-dagang ke satu tahap yang lebih tinggi.

Perdana Menteri berkata, Malaysia juga boleh belajar daripada China mengenai bagaimana menyelesaikan masalah pengangguran.

“Sesuatu yang mengagumkan ialah walaupun China sebuah negara besar dengan bilangan penduduk sangat ramai, ia tidak berdepan masalah pengangguran.

“Ini adalah sesuatu lagi yang Malaysia mahu belajar daripada China kerana kita juga mahu mengatasi masalah pengangguran,” katanya.

Beliau juga berharap Malaysia boleh menjadi hab Asia Tenggara bagi pelbagai teknologi baharu yang dibangunkan oleh China.

Advertisements