KOTA BHARU: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, berkenan hadir di Majlis Ibadat Qurban sempena Aidiladha dekat Panji di sini, hari ini.

Sebanyak 70 ekor lembu dikorbankan di majlis yang diadakan di padang Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra itu.

Seri Paduka, yang memakai seluar ‘track’ hitam dan baju-t merah, tiba kira-kira jam 11.30 pagi.

Baginda diiringi Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra dan turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; timbalannya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah; Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad serta Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan.

 

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi berkata, Yang di-Pertuan Agong menyumbangkan sebanyak 30 ekor lembu selain tujuh ekor sumbangan Pemangku Raja Kelantan manakala selebihnya daripada MAIK.

Katanya daging berkenaan akan diagihkan kepada kira-kira 2,500 fakir miskin.

“Setiap asnaf akan menerima sebanyak satu kilogram daging dan tulang yang siap dicincang,” katanya.

Nik Azlan berkata pada tahun lalu, MAIK mengorbankan 57 ekor lembu dan berjaya mengagihkan daging kepada 2,300 asnaf serta fakir miskin.

Advertisements