KUALA LUMPUR: Penjualan kapal mewah Equanimity perlu dilakukan segera, menurut perintah mahkamah yang difailkan oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan tiga pihak lain.

1MDB, dua anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Ltd dan 1MDB Global Investment Ltd dan kerajaan telah menamakan pemilik kapal Equanimity Kepulauan Cayman sebagai defendan tunggal dalam saman yang difailkan melalui firma undang-undang Jeremy Joseph dan rakan-rakan pada Khamis.

Dalam notis permohonan, empat plaintif meminta penjualan kapal, bunker, bahan bakar, pelincir dan barangan lain di atas kapal tersebut untuk dijalankan melalui tender terbuka atau perjanjian peribadi oleh syerif Mahkamah Admiralti Kuala Lumpur.

Firma berkenaan mahu syerif tersebut menerima bidaan atau tawaran untuk kapal dan bunker serta harga pembelian dibayar kepada syerif dalam matawang dolar, euro atau ringgit.

Plaintif berkata hasil penjualan kapal itu harus dibayar ke mahkamah dan disimpan dalam akaun bank di Malaysia seperti diluluskan oleh Akauntan Negara.

Firma itu berkata syerif dan/ atau plaintif harus diberi kuasa untuk mengatur dan membayar penghantaran balik tuan, pegawai dan krew kapal itu.

Notis itu juga menyatakan bahawa kapal itu adalah tertakluk kepada kemerosotan fizikal kerana ia terdedah kepada unsur-unsur laut dan cuaca.

Semua pihak ingin melihat kapal itu dijual secepat mungkin bagi mengelakkan susut nilai berlaku ke atas kapal itu.

“Penurunan itu akan menyebabkan kesulitan kepada plaintif kerana nilai kapal telah susut nilai dan kos berterusan untuk membiayai penahanannya hanya akan mengurangkan jumlah yang akan diperoleh semula,” tambah firma itu.

Pada 6 Ogos, writ saman dikeluarkan kepada pemilik kapal itu termasuk Wilson Yacht Management Ltd iaitu syarikat yang mengendalikan Equanimity.

Advertisements