KUALA LUMPUR: Pelakon, Rozita Che Wan, menegaskan sudah lali berdepan kontroversi mengaitkan ahli keluarganya sehingga tidak terkesan dengan penyebaran gambar bogel seorang pemuda dikatakan mirip anak sulungnya, Ammar Effendy.

Kata Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, 45, dalam era kecanggihan teknologi, pelbagai perkara boleh dimanipulasi segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menjatuhkan maruah atau kredibiliti seseorang.

“Perkara ini baru saja dimaklumkan kepada saya, malah hingga kini masih ada wakil media yang cuba mendapatkan komen saya berhubung perkara berkenaan.

“Perkara ini mudah saja, kami sekeluarga enggan cepat melatah. Lagipun, sepanjang bergelar selebriti, bermacam-macam perkara sudah kami lalui,” katanya.

Sejak malam tadi, beberapa keping gambar bogel seorang pemuda yang dikatakan mirip Ammar, 22, tular di Twitter. Difahamkan, gambar terbabit adalah paparan skrin daripada video yang dikongsi dalam laman sosial Tumblr.

Daripada semakan, pengendali akaun terbabit memuat naik gambar itu bagi mempromosikannya kepada bakal pelanggan yang ingin membeli video penuh.

Sementara itu, wakil pengurusan Che Ta yang juga ibu kepada tiga cahaya mata, LOL Entertainment, memaklumkan sudah membuat laporan berhubung perkara itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Advertisements