KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menetapkan Rabu depan untuk merekodkan penghakiman persetujuan bersama bagi penyelesaian kes saman fitnah oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas calon Barisan Nasional (BN) Permatang Pauh, Datuk Dr Mazlan Ismail dan dua lagi berhubung isu rasuah membabitkan badan kehakiman.

Perkara itu dimaklumkan peguam Sangeet Kaur yang mewakili Anwar ketika ditemui selepas pengurusan kes itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Faizah Jamaludin di dalam kamarnya di sini.

Beliau berkata, kes itu akan di selesaikan secara baik, namun mereka kini sedang berbincang berhubung terma bagi penarikan balik artikel dan permohonan maaf.

Sementara itu, peguam Hasnal Rezua Merican yang mewakili Mazlan berkata, anak guamnya juga dijadualkan membaca permohonan maaf di mahkamah pada 28 September depan iaitu selepas beliau pulang menunaikan ibadah haji.

“Anwar, Mazlan dan Sistem Televisyen Malaysia Bhd (TV3) bersetuju merekodkan penghakiman persetujuan.

“Terma masih diperhalusi, tetapi kita bersetuju penarikan balik artikel dan permohonan maaf sedang dibuat,” katanya.

Peguam Lim Qi Si hadir bagi mewakili TV3, manakala peguam Azhar Arman mewakili Utusan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa Mazlan secara salah dan berniat jahat mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya pada sidang akhbar 2 Ogos 2013.

Anwar mendakwa TV3 kemudian menyiarkannya dalam siaran Buletin Utama TV3 pada jam 8 malam, hari sama.

Beliau berkata, tiga artikel fitnah itu kemudian diterbitkan diedarkan Utusan Malaysia pada 3 Ogos 2013.

Tiga artikel itu bertajuk ‘Dakwa Penasihat PKR simpan jutaan ringgit dalam beberapa akaun bank tempatan-Surat Misteri Anwar’, ‘Surat misteri dedah urus niaga Anwar dan Karpal, minta penjelasan – Mazlan’ dan ‘Laporan ditulis bekas pekerja Karpal Singh’.

Advertisements