KOTA KINABALU:Seorang penganggur ditahan kerana didakwa menipu orang ramai dengan menawarkan pakej mendaki Gunung Kinabalu sejak awal tahun lalu.

Lelaki berusia 35 tahun dari Lahad Datu itu dikatakan menipu pelancong berjumlah RM29,100.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Habibi Majinji berkata, penahanan dibuat susulan seorang wanita berusia 36 tahun membuat laporan polis mengenai penipuan itu membabitkan dirinya dan tiga rakan.

“Mereka sepatutnya mendaki Gunung Kinabalu pada 21 dan 22 Oktober tahun ini, tetapi bila mereka tiba di kaunter pendaftaran di Taman Kinabalu, mereka diberitahu bahawa nama mereka tidak tersenarai,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Habibi berkata, wanita berkenaan cuba menghantar pesanan teks kepada suspek untuk bertanyakan mengenai perkara itu.

Lelaki itu kemudian menjawab untuk memberi maklum balas kepada mereka kemudian.

Bagaimanapun, mangsa tidak dapat menghubungi lelaki tersebut selepas itu apabila mendapati nombor mereka telah disekat.

“Selepas laporan polis dibuat, kita mendapati terdapat 21 lagi laporan terhadap suspek daripada mangsa-mangsa di Sabah dan Johor,” katanya.

“Kerugian dianggarkan berjumlah RM29,100,” kata Habibi.

Suspek ditahan di kawasan parkir dekat sebuah pasar di Menggatal pada Rabu lalu.

Dia direman selama empat hari sehingga 26 Ogos bagi membantu siasatan.

Advertisements