JOHOR BAHRU: Bekas Naib Presiden MIC, Tan Sri S Balakrishnan, 64, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM6 juta dalam kejadian antara 2012 hingga 2013.

Tertuduh didakwa melakukan pengubahan wang haram membabitkan pengeluaran wang tunai berjumlah RM6.012 juta antara 12 Jun 2012 hingga 5 September 2013.

Bagi pertuduhan pertama, Balakrishnan yang juga Pengarah Syarikat Sinnaiyah & Sons Sdn Bhd didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram dengan melakukan pengeluaran berjumlah RM6.012 juta.

Bagi pertuduhan kedua, Balakrishnan didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram dengan melakukan transaksi pengeluaran wang menerusi akaun bank, pada masa dan tempat sama.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah akta sama.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mengikut seksyen dan akta sama serta dibaca bersama Seksyen 87(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Balakrishnan boleh didenda sehingga RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Khazrin Hafiz Khalil manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk VManukaran dan N Yuhendra.

Terdahulu, Khazrin memohon mahkamah memindahkan perbicaraan dua kes berkenaan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama satu pertuduhan ke atas tertuduh membabitkan tuntutan palsu sebanyak RM13 juta membabitkan Projek Pengindahan dan Pembaikan Sungai Melaka, pada 2013 dan akan dibicarakan pada 3 September ini.

Hakim Jailani Rahman kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan memindahkan kes untuk dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Advertisements