PETALING JAYA: Pengasas produk kecantikan Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman menafikan dakwaan seutas rantai bernilai RM80,000 yang diberikan kepada Juara Gegar Vaganza musim keempat, Aishah adalah palsu.

Sebaliknya usahawan kosmetik itu berkata, barang kemas tersebut diperbuat daripada emas putih bertatahkan batu permata yang dibeli di luar negara kira-kira empat tahun lalu.

“Ada orang cakap batu sintetiklah… orang kata palsulah tapi hakikatnya ia bukan rantai palsu. Ia adalah rantai emas putih dan batu permatanya adalah daripada gred tertentu.

“Saya beli rantai tu dekat Hong Kong empat tahun lalu. Ia amat berharga di mata saya,” katanya ketika dihubungi.

Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida (DSV) turut meminta Aishah supaya memulangkan semula rantai tersebut dan akan memberikan sesuatu yang ‘luar biasa’ kepadanya.

“Saya akan adakan pertemuan dengan Aishah dalam masa terdekat. Kita duduk bersama-sama untuk menerima penyerahan kembali rantai itu dengan hati yang sangat gembira.

“Pulangkan kepada saya, tidak mengapa. Saya akan gantikan rantai itu dengan satu benda yang sangat luar biasa iaitu Lavida Coin. Lepas itu barulah dia akan kata inilah rupa-rupanya yang saya cari selama ini,” katanya.

Mengulas mengenai rantai tersebut, Vida berkata beliau amat gembira kerana bakal mendapat semula barang kemas kesayangannya itu.

“Demi Allah, sebenarnya masa saya bagi rantai itu saya menangis sebab ia barang kemas kesayangan saya. Saya sangat gembira dapat terima semula rantai itu.

“Walaupun tiada nilai di mata Aisyah tapi ia amat berharga pada saya. Saya suka reka bentuk dan segalanya tentang rantai itu dan saya akan pakainya dengan bangga selepas ini,” kata usahawan kelahiran Machang, Kelantan itu.

Beliau turut menjelaskan rantai tersebut sebenarnya dibeli pada harga RM40,000 tetapi mendakwa nilainya meningkat dua kali ganda mengikut harga pasaran jualan.

“Saya beli harga modal RM40,000 tapi setelah mark up harganya mencecah RM80,000. Kalau dah diskaun dapatlah RM50,000, biasalah adat orang berniaga,” katanya.

Terdahulu, Aishah, 53, mendedahkan rantai hadiah bonus tajaan Vida tidak bernilai dan bukan berlian asli.

Malah penyanyi lagu Janji Manismu itu turut memberitahu dia berasa terkilan apabila sehingga kini masih belum menerima lot tanah yang dijanjikan.

 

Advertisements