KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menegaskan lawatannya ke beberapa tempat di selatan Thailand, baru-baru ini adalah atas urusan peribadi.

Beberapa hari lepas, tular dalam media sosial gambar beliau menghadiri program di sebuah masjid dikatakan masjid untuk orang Syiah di sana.

Begitupun, beliau enggan melayan dakwaan tersebut dan menganggap semua orang boleh melakukan dakwaan sedemikian.

“Itu dakwaan (tuduhan Syiah kepada beliau). Saya pun boleh buat dakwaan saudari (wartawan) bercinta dengan siapa-siapa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Kementerian Pertahanan dan Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan 2018 di Wisma Perwira ATM, di sini, Selasa.

Kenyataan terbaru Ahli Parlimen Kota Raja itu sekaligus mengesahkan khabar angin mendakwa menteri itu ke selatan Thailand baru-baru ini.

Menurutnya, beliau melakukan ibadah korban di banyak kawasan dalam negara itu sejak beberapa tahun lepas termasuk di kem keamanan di sana.

“Itu saya tak perlu jawab. Saya melakukan korban di banyak tempat di Thailand pada setiap tahun.

“Itu soal peribadi termasuk saya ada buat lawatan di kem keamanan di sana. Kali ini diiringi tentera Thailand juga,” ujarnya.

 

Advertisements