KOTA BHARU: Seorang penoreh getah berusia 69 tahun dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini terhadap kesalahan mencabul cucu tiri yang kurang upaya (OKU) berusia tujuh tahun, Sabtu lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik saja pertuduhan dibacakan kepadanya.

Mengikut pertuduhan, warga emas itu didakwa dengan sengaja menyentuh cucu tirinya yang juga lembam berusia tujuh tahun dengan tujuan membangkitkan nafsu di sebuah rumah di Ketereh pada jam 11.30 pagi, Sabtu lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon supaya mahkamah meringankan hukuman atas alasan sudah terlalu tua

Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd Arshad kemudiannya memohon supaya hukuman berat kerana kesalahan yang serius itu perlu mengambil kira kepentingan awam.

“Tertuduh sebagai atuk sepatutnya menjaga cucunya, sebaliknya mengambil kesempatan ke atas mangsa yang OKU lembam. Hukuman berat dan sebat perlu diberikan sebagai pengajaran supaya tertuduh insaf dengan perbuatannya,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Bazli memutuskan hukuman lima tahun dari tarikh ditangkap.

Berdasarkan fakta kes, bapa mangsa yang pulang dari klinik mendapati anaknya itu tiada di ruang tamu rumah sebelum mencarinya di bilik ibunya dan mendapati ayah tirinya itu berada di atas badan anaknya itu dalam keadaan kedua-duanya berbogel di atas katil.

Bapa mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kok Lanas.

Advertisements