KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter di sekitar Lembah Klang akan melaksanakan transaksi tambang tanpa tunai berkuat kuasa pada 10 September depan.

Pengurus Besar Perolehannya, Mohd Hider Yusoff berkata, buat permulaan, bayaran tambang tanpa tunai tersebut diwajibkan ke atas penumpang dewasa dan pelajar.

“Selain menggunakan kad Touch ‘n Go dan MyKad, pengenalan kad Komuter Link juga akan memudahkan urusan transaksi perjalanan pengguna,” katanya pada sidang media KTM Komuter Go Cashless di sini, hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Perkhidmatan KTM Komuter, Khair Johari Ishak.

Katanya, lebih 85 peratus pengguna KTM Komuter kini sudah menggunakan transaksi bayaran tambang tanpa tunai bagi perjalanan mereka manakala selebihnya masih menggunakan token.

“Kami yakin pelaksanaannya berjalan lancar memandangkan mesin sedia ada sudah dilengkapi fungsi bagi urusan tambah nilai bagi semua jenis kad,” katanya.

Khair Johari berkata, selain mesin tambah nilai, KTM juga telah mula mengedarkan secara percuma lebih sejuta kad Komuter Link Dewasa dan Konsesi sejak Julai 2017 sebagai persediaan kepada peralihan tersebut.

“Sebanyak 30,000 kad Komuter Link Dewasa akan diberi secara percuma mulai 10 hingga 16 September ini. Selepas tarikh tersebut, kad Komuter Link akan mula dijual semula dengan harga RM5 (tanpa tambah nilai) di kaunter tiket, mesin tiket dan melalui kru mobile team di stesen-stesen utama KTM Komuter,” jelasnya.

Pelaksanaan transaksi tanpa tunai ini juga akan menyaksikan pengguna menikmati kadar tambang yang lebih murah iaitu hingga 20 peratus, di samping menjimatkan masa beratur di kaunter atau mesin tiket untuk membayar tambang.

Advertisements