PUTRAJAYA: Senarai barangan dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dipaparkan di laman sesawang Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) belum dimuktamadkan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, senarai itu akan diperbaiki dari semasa ke semasa berdasarkan maklum balas daripada semua pihak.

Beliau berkata, kerajaan lebih mengutamakan kesejahteraan rakyat berbanding hasil kutipan cukai.

“Ada sesetengah orang tidak suka saya cakap begini, tetapi apa guna kalau ada angka cantik, namun rakyat menderita,” katanya pada Taklimat SST Bersama Media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri T Subromaniam dan Pengarah Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Mohd Roslan Mahayudin.

Setakat ini, sebanyak 5,443 barang dikecualikan SST, berbanding kira-kira 500 barang saja ketika rejim Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) manakala 5,612 dikenakan cukai jualan 10 peratus selain lebih 600 barangan bagi cukai jualan sebanyak lima peratus.

Guan Eng berkata, kerajaan menggunakan pendekatan percaya sama percaya terhadap peniaga.

“Jika barangan yang mereka jual berada di bawah pengecualian cukai, peniaga boleh memohon pengecualian dan kelulusan diberikan secara automatik berdasarkan dokumen yang mereka serahkan tetapi kami akan menyemak dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata, menjelang pelaksanaan SST Ahad ini, hampir 80,000 peniaga sudah mendaftarkan perniagaan mereka secara automatik daripada MyGST kepada MySST.

“Sebanyak 79,966 sudah mendaftar dan daripada jumlah itu, 32,577 pendaftaran dibuat di bawah cukai jualan manakala bakinya, 44,874 didaftarkan di bawah cukai perkhidmatan sejak 16 Ogos lalu.

“Kita menjangkakan lebih banyak lagi pendaftaran. Saya tahu sistem MySST mengalami masalah teknikal malam tadi, namun ia sudah diselesaikan,” katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, JKDM juga digesa untuk mengambil pendekatan mesra terhadap pembayar cukai dengan mempermudahkan urusan mereka.

Katanya, pendekatan itu lebih berkesan, sekali gus dapat meningkatkan imej JKDM.

“Sebelum ini, JKDM mungkin mempunyai imej yang tidak mesra. Jika anda tidak membayar, mereka akan datang mencari.

“Kini kami bekerjasama di mana tanggungjawab rakyat untuk membayar cukai, jadi kami memudahkan mereka,” katanya.

Advertisements