SHAH ALAM: Kira-kira 2,000 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan Balakong esok.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya sudah bersiap-siaga dari segi keselamatan, lalu lintas dan lain-lain perkara yang sewajarnya dilaksanakan.

“Kira-kira 2,000 termasuk anggota yang standby, membabitkan semua elemen di kawasan luar yang berhampiran dikerah sebagai persediaan sekiranya apa-apa perkara tidak diingini dan keanggotaan yang berada di lapangan adalah kira-kira 1,000 pegawai dan anggota.

Mazlan mengharapkan perjalanan kedua-dua PRK berjalan dengan baik mengikut perancangan kerana pihaknya sudah bersiap sedia.“Setakat ini, sentimen masyarakat tiada apa yang boleh mencetuskan dan menggugat keselamatan.

“Kita nasihatkan datang ramai lebih awal untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing agar semua berjalan lancar dan baik,” katanya.

Esok, pengundi DUN Seri Setia dan Balakong bakal mengundi dalam dua PRK susulan kematian wakil rakyatnya iaitu ADUN Seri Setia, Dr Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, yang meninggal dunia akibat barah usus di Hospital Putrajaya, 2 Ogos dan ADUN Balakong, Eddie Ng Tien Chee, yang maut dalam nahas jalan raya di Kilometer 11.7 Lebuhraya Grand Saga, pada 20 Julai lalu.

Bagi kerusi DUN Seri Setia, pengundi bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan, Halimey Abu Bakar dan calon PAS, Dr Halimah Ali.Sementara itu, kerusi DUN Balakong pula juga menyaksikan satu lawan satu antara calon MCA, Tan Chee Teong dan Pakatan Harapan, Wong Siew Ki.

Advertisements