PETALING JAYA: Adik kepada Datuk Farid Kamil Zahari hadir ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, mewakili pelakon dan pengarah itu bagi menyerahkan sijil cuti sakit.

Fadzil Zahari ketika dihubungi berkata, Farid, 37, masih dalam cuti sakit sehingga 12 September ini selepas menjalani pembedahan lutut di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban pada 27 Ogos lalu.

“Farid masih dalam cuti sakit sehingga 12 September dan cuti itu akan bersambung lebih kurang dua minggu lagi bagi memastikan Farid mendapat rehat secukupnya dan betul-betul sembuh,” katanya.

Sehubungan itu tiada sebarang waran tangkap dikeluarkan terhadap Farid.

Kes itu didengar di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham dan Fadzil hadir ditemani peguam pelakon filem J Revolusi itu.

Sebelum ini, Farid tidak dapat hadir bagi sebutan semula kes lima pertuduhan jenayah yang dihadapinya kerana menjalani pembedahan.

Bagaimanapun, tiada sebarang laporan perubatan atau sijil cuti sakit dikemukakan kepada pihak mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamed Firdaous Mohamad Idris kemudian memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap Farid Kamil sekiranya laporan perubatan dan sijil cuti sakit gagal dikemukakan.

Mahkamah sebelum ini menetapkan lima hari bermula 27 November hingga 14 Disember depan bagi perbicaraan kes dihadapi pelakon itu dengan sekurang-kurangnya tujuh saksi pendakwaan akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Pada 16 Januari lepas, Farid Kamil mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu dua pertuduhan mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Farid Kamil didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Ashraf Ahmad, 35, seorang eksekutif akaun syarikat swasta dan Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 24, seorang anggota polis.

Bagi pertuduhan ketiga, Farid Kamil dituduh menggunakan kekerasan jenayah terhadap Muhammad Nizam sebagai seorang penjawat awam yang sedang menjalankan tugas sebagai pegawai polis dengan niat menghalang beliau menjalankan tugasnya yang sah di sisi undang-undang.

Bagi pertuduhan keempat, dia didakwa berkelakuan tidak senonoh di dalam balai polis dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan kepada Muhammad Nizam.

Sembilan hari kemudian, pada 25 Jan, Farid Kamil turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menggunakan dadah jenis tetra hydrocannabinol atau THC.

 

Advertisements