KOTA BHARU: Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan parti itu akan mengosongkan satu kerusi Parlimen minggu hadapan bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.

Katanya, rakyat Malaysia akan menyaksikan sendiri kekosongan kerusi berkenaan dan Anwar akan kembali semula ke Parlimen tidak lama lagi.

Katanya, usaha menjadikan Anwar sebagai ahli Parlimen itu bagi melengkapkan kerja keras mereka untuk melihat Ketua Umum PKR itu menjadi Perdana Menteri.

“Langkah pertama usaha kita adalah jadikan Anwar sebagai presiden parti dan itu sudah berjaya, manakala langkah kedua adalah jadikan Anwar sebagai Ahli Parlimen.

“Ini kerana banyak suara sumbang mempersoalkan Anwar bukan sesiapa, bukan Ahli Parlimen dan hanya bekas banduan.

“Justeru, saya nak beritahu orang Kelantan minggu depan akan ada satu kerusi Parlimen yang akan dikosongkan untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding.

“Kalau Datuk Seri Azmin Ali atau Zuraida Kamaruddin tak mahu bagi kerusi tidak mengapa kerana kita ada ramai Ahli Parlimen yang sudi beri kerusi kepada Anwar,” katanya menyampaikan ceramah #REFORMASI 20 TAHUN di sini, malam ini.

Advertisements