KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merayu orang ramai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi berikutan peratusan mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dan Seri Setia masih rendah.

Timbalannya, Tan Sri Othman Mahmood, berkata proses pengundian berjalan lancar di semua lokasi.

“Setakat jam ini (11 pagi), peratusan keluar mengundi bagi PRK DUN Seri Setia dan Balakong masing-masing adalah sebanyak 23 dan 21 peratus.

“Diharapkan media dapat membantu menguar-uarkan kepada masyarakat supaya mereka keluar mengundi dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat pusat mengundi di Dewan D’Kelana, hari ini.

Seramai 62,188 pengundi berdaftar bagi kawasan DUN Balakong, manakala 50,722 pengundi di DUN Seri Setia.

PRK DUN Balakong diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lalu, manakala PRK DUN Seri Setia diadakan susulan kematian penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lalu akibat kanser usus.

Kedua-dua kawasan itu sebelum ini dimenangi oleh Pakatan Harapan.

Advertisements