PETALING JAYA: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di Parlimen Port Dickson, dalam usaha Pakatan Harapan (PH) mengangkat beliau sebagai Perdana Menteri kelapan.

Pengosongan kerusi itu diumumkan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada sidang media khas di Ibu Pejabat PKR di sini, hari ini.

“Saya sedia mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson bagi membolehkan Anwar bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan itu.

“Anwar bersetuju menerima tawaran saya dan bersedia bertanding di Parlimen Port Dickson. Saya yakin Anwar akan menang dan menjadi Ahli Parlimen dan akan menjadi Perdana Menteri kelapan.

“Saya juga sudah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Port Dickson berkuat kuasa serta merta kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat,” katanya.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Naib Presiden, Dr A Xavier Jayakumar.

Kali terakhir Anwar, 71, bertanding ialah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) di kerusi Parlimen Permatang Pauh yang menyaksikan beliau menewaskan Mazlan Ismail (BN) dan Abdullah Zawawi Samsudin (BEBAS) dengan majoriti 11,721 undi.

Kelayakan Anwar sebagai Ahli Parlimen Pematang Pauh terlucut selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun selepas menolak rayuannya daripada hukuman penjara bagi kesalahan meliwat pada Februari 2015.

Bagaimanapun, beliau diberikan pembebasan serta-merta selepas mendapat perkenan pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 16 Mei lalu, tujuh hari selepas PH menjadi kerajaan.

Advertisements