PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bekerjasama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi menganjurkan debat terbuka dalam bahasa Inggeris bagi membincangkan mengenai isu hangat yang berlaku di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, debat seumpamanya dapat memperbaiki cara komunikasi graduan dalam bahasa berkenaan dan melahirkan generasi yang berfikiran ke hadapan.

Menurutnya, debat itu akan diadakan secara lapan siri dalam tempoh setahun, di mana dua pelajar atau orang awam akan berdebat pelbagai topik termasuk isu politik, ekonomi, sosial atau akademik.

“Kita akan adakan debat ini secara tahunan dengan membincangkan isu hangat yang berlaku pada bulan terbabit.

“Siri debat ini sama dengan yang diadakan oleh universiti terkemuka di luar negara di mana mereka adakan debat pada setiap malam Khamis. Pelajar di universiti terbabit bebas membincangkan mengenai pelbagai isu,” katanya pada sidang media di kementeriannya di sini, hari ini.

Syed Saddiq berkata, pihaknya berharap UIAM dapat menjadi batu loncatan kepada program debat berkenaan dan akan disusuli oleh universiti awam yang lain.

“Budaya debat ini boleh dikatakan masih asing di negara ini, melalui program debat ini akan mengutarakan perbezaan pendapat dan ia memberi kesan kepada pembuat dasar dalam negara ini,” katanya.

Buat permulaan, dalam debat bertema ‘Action – Youth Engaged’ itu, Syed Saddiq akan berdebat dengan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan RHB, Syed Ahmad Taufik Albar dengan tajuk ‘Pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar adalah satu kesilapan’.

Siri debat itu akan berlangsung di Pusat Kebudayaan UIAM Kampus Gombak dekat sini pada 18 September bermula jam 8 malam.

Advertisements