SEREMBAN: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, mengekalkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi Parlimen Jempol selepas menerima permohonan awal Ahli Parlimennya, Datuk Mohd Salim Mohd Shafiff untuk membatalkan petisyen yang difailkan ahli calon PKR, Kamarulzaman Kamdias.

Hakim Datuk Azimah Omar membuat keputusan itu selepas meneliti dan menimbang semua afidavit serta hujahan difailkan kedua-dua pihak, selain menolak lapan isu yang dibangkitkan peguam Kamarulzaman.

Azimah dalam keputusannya menyifatkan petisyen difailkan pihak pempetisyen adalah cacat atau defektif dan sehubungan itu bantahan Mohd Salim selaku responden pertama diterima.

Azimah berkata, pihak pempetisyen gagal mengemukakan butiran terperinci atau kesalahan dilakukan bagi mencabar keputusan PRU yang lalu, mengikut Kaedah 15 Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.

Berikutan itu, petisyen yang dikemukakan Kamarulzaman ditolak dan kes bagi Parlimen terbabit tidak akan dibicarakan. Pihak pempetisyen bagaimanapun memiliki 14 hari untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah.

Mohd Salim diwakili empat peguam diketuai Datuk Mohd Hafarizam Harun manakala pihak pempetisyen turut diwakili empat peguam yang diketuai Muhammad Rafique Rashid Ali serta Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Seorang peguam Mohd Salim, Syed Faisal Syed Abdullah berkata, antara hujah dikemukakan pihaknya adalah pihak pempetisyen gagal mematuhi kaedah dan akta berkenaan dengan alasan Notis Pengemukaan Petisyen tidak diserahkan secara terus kepada responden pertama.

“Mereka menyerahkan petisyen itu kepada seorang wanita bernama Nor Kamalia Jamaludin yang tidak diketahui apa jawatan, jadi kami kata ia adalah cacat.

“Menurut undang-undang, petisyen perlu diserahkan secara terus kepada responden yang terbabit, tetapi mereka tidak buat,” katanya kepada pemberita.

Selain itu, Syed Faisal berkata, isu kandungan petisyen hanya mengandungi aduan dan tidak menyatakan sebarang peruntukan undang-undang yang didakwa dilanggar responden mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Kamarulzaman memfailkan petisyen pada 12 Jun lalu bertujuan membatalkan keputusan PRU-14 bagi kerusi Parlimen Jempol dengan menamakan Mohd Salim, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Jempol, Datuk Zazali Salehudin dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden.

Pada PRU-14, Mohd Salim yang mewakili Barisan Nasional meraih kemenangan dengan 1,631 undi majoriti. Beliau meraih 26,819 undi manakala calon PKR, Kamarulzaman dan calon PAS masing-masing mendapat 25,188 dan 5,267 undi.

Advertisements