KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meluahkan kegusaran beliau mengenai nilai ringgit yang dikatakan semakin menyusut sehingga ke paras terkini, RM4.15.

Najib berkata, trend naik turun ringgit sebelum ini banyak bergantung kepada harga minyak dunia dan secara am, ringgit akan mengukuh apabila harga minyak naik serta sebaliknya.

Begitupun, kata Najib, trend berkenaan sudah bercanggah kerana walaupun harga minyak semakin tinggi sehingga AS$78 satu tong sekarang, ringgit tidak mengukuh sebaliknya turun 30 sen sehingga RM4.15.

“Kerisauan saya ialah jika harga minyak dunia turun dengan kuat, maka matawang ringgit akan menerima impak yang agak teruk.

“Sebelum PRU14, pemimpin Pakatan Harapan (PH) kata ‘Najib turun, ringgit akan naik” namun saya pelik kerana saya sudah turun empat bulan tetapi ringgit semakin turun juga.

“Apapun, saya berharap kerajaan PH akan mengambil kira kerisauan mengenai nilai ringgit sebelum ia memudaratkan,” katanya menerusi kenyataan terbarunya di laman Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut Najib berkata, keputusan beliau untuk tidak menambat ringgit ketika negara berdepan krisis ekonomi dunia sekitar tahun 2008 dan 2009 selain melaksanakan pakej rangsangan ekonomi terbukti berjaya menyelamatkan ekonomi Malaysia.

Kata Najib, ketika dilantik menjadi Menteri Kewangan, ringgit lemah, turun sehingga RM3.75 berbanding Dolar Amerika Syarikat (AS) akibat krisis ekonomi dunia dan Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa beliau untuk menambat ringgit seperti yang dilakukan pada tahun 1998.

Beliau bagaimanapun, mengambil keputusan untuk tidak menambat ringgit selepas mengambil kira pelaburan asing dan daya saing eksport negara turun ketika ringgit ditambat pada 1998 dan pertumbuhan ekonomi pada tahun 2000 hingga Dr Mahathir bersara pada akhir 2003 juga kurang baik.

Katanya, beliau tidak berbuat demikian (menambat ringgit) pada tahun 2008 hingga 2009, disebabkan kenaikan harga minyak dan pemulihan ekonomi hasil pakej rangsangan ekonomi terbesar dalam sejarah negara, ringgit kembali mengukuh sebanyak 30 peratus, sehingga di bawah paras RM3.00 berbanding dolar AS pada 2010 hingga 2013.

“Meskipun pakej rangsangan ekonomi itu juga menaikkan hutang negara dan turut dibidas namun langkah itu terbukti berjaya menyelamatkan ekonomi Malaysia.

“Tidak pernah dalam sejarah Malaysia, ringgit mengukuh setinggi itu namun jika diimbau kembali, saya tidak pun memuji diri sendiri memandangkan ringgit kukuh kerana harga minyak mentah tinggi dan bukan semuanya berpunca daripada usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) dan saya.

“Namun pakej rangsangan yang kita laksanakan selari dengan kenaikan harga minyak berjaya selamatkan ekonomi kita dari terjerumus dari kemelesetan,” katanya.

Menurut Najib, apa yang menghairankan, pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Pakatan mendakwa Malaysia akan bankrap biarpun ketika itu ringgit mengukuh di bawah RM3.00 dan pada PRU-14, Pakatan turut membuat tuduhan yang sama ketika nilai ringgit lebih rendah berbanding PRU-13.

Kata Najib, berdasarkan carta, apabila harga minyak dunia turun dengan teruk pada akhir 2014, nilai ringgit juga turun dengan banyak dan pada masa itu, beliau sekali lagi terima tekanan politik yang hebat dan sebagai ahli politik, langkah paling mudah ialah menambat ringgit sebagaimana dilakukan Dr Mahathir sebelum ini.

Katanya, beliau melihat banyak negara lain pada masa itu seperti Republik Czech, Nigeria, Switzerland, Uzbekistan, Azerbaijan, Kazakhstan, Angola dan Maghrib juga menolak sistem penambatan mata wang kerana mereka mahu meningkatkan daya saing ekonomi masing-masing.

“Tetapi sebagai Perdana Menteri yang mengutamakan kekuatan jangka panjang ekonomi dan masa depan negara, saya tidak ambil langkah itu kerana keputusan berdasarkan politik jangka pendek yang tidak betul akan memberi kesan negatif jangka panjang kepada negara.

“Sekali lagi, walaupun dikecam teruk saya memilih sekali lagi untuk tidak menambat ringgit. dan terbukti, keputusan itu terbukti betul apabila eksport negara melonjak naik berpuluh peratus setiap bulan dan pertumbuhan ekonomi sangat kukuh pada tahun 2017 sehingga awal tahun 2018.

“Ringgit pula mula kembali pulih sehingga tahap RM3.85 pada bulan April 2018 sebelum pilihan raya,” katanya.

Jelas Ahli Parlimen Pekan itu lagi, antara serangan terhadap beliau sebelum PRU14 adalah berkaitan nilai mata wang ringgit dan PH berulang kali menyebut nilai ringgit lemah pada tahun sebelum itu adalah bukti Malaysia sudah mula bankrap.

Katanya, berdasarkan carta 1 (pergerakan ringgit berbanding dolar AS dengan harga minyak mentah dunia Brent dari tahun 2008 hingga kini), ia jelas menunjukkan bahawa naik turun ringgit banyak bergantung kepada harga minyak dunia.

Jadi, secara am, ringgit akan mengukuh apabila harga minyak naik dan sebaliknya.

“Hakikatnya, tempoh saya sebagai menteri kewangan dan Perdana Menteri sehingga saya berhenti menyaksikan ringgit turun dari sekitar RM3.75 ke RM3.85 (tidak ditambat) dan saya dianggap gagal oleh segelintir rakyat Malaysia

“Perdana Menteri keempat pula dikatakan berjaya apabila ringgit menyusut dari RM2.20 berbanding dolar AS kepada RM3.80 (ditambat) dari mula dia mentadbir sehingga tamat pada akhir tahun 2003,” katanya.

Advertisements