KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan memastikan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) baharu yang bakal dilantik, bukan seperti penyandangnya sebelum ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd Harun, berkata pihaknya akan memilih individu yang benar-benar layak, khususnya daripada aspek kredibiliti dan kualiti.

“Pengerusi MARA kali ini, Insya-Allah kita bukanlah (lantik) orang yang seperti (Tan Sri) Annuar Musa lagi.

“Kita akan pilih orang yang lebih berkualiti dan profesional bagi memastikan hala tuju MARA selari dengan hasrat kita , iaitu supaya agensi ini lebih dimartabatkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sepetang bersama penduduk Parlimen Titiwangsa di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) yang juga bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Ditanya bila kementeriannya akan melantik Pengerusi MARA serta ahli lembaga pengarah yang baharu ketika ditemui selepas majlis itu, Rina berkata dalam masa terdekat.

Annuar yang dilantik sebagai Pengerusi MARA sejak 19 Julai 2013, pernah ‘direhatkan’ daripada jawatan itu serta Pengerusi Pelaburan MARA Berhad (PMB) pada 31 Januari tahun lalu.

Arahan rehat itu bagi membolehkan audit dalaman agensi itu menyiasat isu penajaan PMB dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW).

Advertisements