KOTA BHARU: PAS menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson tidak sepatutnya berlangsung kerana ia bukan saja merugikan masa, malah menjurus kepada pembaziran wang negara.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata PRK yang disengajakan itu diadakan hanya kerana memenuhi cita-cita seorang individu yang mahu menjadi Perdana Menteri.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar berkata setiap kali PRK, kos yang perlu dibelanjakan mencecah jutaan ringgit sedangkan negara tiada duit dan terpaksa mewujudkan tabung meminta derma.

“Bagi saya ia buang masa dan membazir duit kerana setiap PRK membabitkan kos juta ringgit dan ini bukan yang pertama kerana sebelum ini Langkah Kajang pernah dilakukan.

“Ini semua untuk memenuhi cita-cita individu jadi saya berasakan ia tidak baik untuk negara. Kita tiada duit tapi kita buat benda seperti ini (PRK),” katanya selepas mesyuarat EXCO, di sini, hari ini.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di Parlimen Port Dickson, dalam usaha Pakatan Harapan (PH) mengangkat beliau sebagai Perdana Menteri kelapan.

Pengumuman itu dibuat Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah yang akan mengosongkan kerusi berkenaan bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding PRK pada sidang media khas di Ibu Pejabat PKR di sini, hari ini.

Advertisements