SUNGAI BESAR: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan di Mahkamah Majistret Sungai Besar, di sini.

Pengakuan itu dibuat Jamal, 48, selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Mohd Azali Ibrahim.

Bagi pertuduhan pertama, Jamal didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Pua Jun Jie, 19, di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Parit 7 Sungai Leman, Sekinchan, jam 3.15 petang, pada 9 Mei lalu.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Jamal kemudian mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membuang pita pelekat sitaan dan menanggalkan notis perintah penutupan yang dipasang Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) pada jam 3 petang, 23 Disember 2016, di Sekinchan Fisherman Village Hotel and Resort, Jalan Pantai Redang, Sekinchan.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 43 Undang-Undang Kecil MDSB, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya selain boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM200 bagi setiap hari jika kesalahan berterusan.

Mohd Azli kemudian membenarkan jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM1,800 untuk pertuduhan mendatangkan kecederaan serta menetapkan sebutan semula kes pada 25 Oktober ini.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Saphirra Selamat, manakala Jamal diwakili tiga peguam, Datuk Mohd Imran Tamrin; Datuk Sulaiman Ismail dan Muhammad Nor Tamrin.

Advertisements