PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini diberitahu bahawa arahan untuk membuat afidavit membabitkan peguam terkemuka, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah menerima bayaran RM9.5 juta itu adalah daripada Peguam Negara Tommy Thomas sendiri.

Semalam, Muhammad Shafee, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas empat pertuduhan menerima wang RM9.5 juta daripada Datuk Seri Najib Razak hasil aktiviti pengubahan wang haram serta membuat penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Beliau memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Beliau didakwa menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, J2 dan K1, Taman Tunku, Bukit Tunku.

Bagi perbuatan itu, Muhammad Shafee didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang membawa hukuman denda RM5 juta atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Muhammad Shafee juga berhadapan dua pertuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu dengan membuat penyata yang tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Ia bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tunku Abdul Halim pada 3 Mac 2015 dan pada 29 Jun 2015.

Bagi perbuatan itu, Muhammad Shafee berhadapan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram.

Mahkamah membenarkan Muhammad Shafee diikat jamin RM1 juta dengan jumlah jaminan RM500,000 dibayar hari ini manakala bakinya pada Selasa depan.

Mahkamah juga memerintahkan pasport milik Muhammad Shafee diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai

Mahkamah menetapkan 2 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Advertisements