ALOR SETAR: Fenomena garis badai kesan tiupan angin monsun barat daya yang menyebabkan ribut dan petir melanda negeri di utara Semenanjung dijangka berlarutan sehingga akhir bulan ini.

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata ia adalah fenomena biasa yang berlaku setiap tahun kesan pertembungan angin Laut Andaman dan Laut Selat Melaka.

Bagaimanapun, katanya cuaca ribut dan angin kencang mencecah sehingga 70 kilometer sejam (km/j) yang membadai Perlis malam tadi, tidak mempunyai kaitan dengan Taufan Mangkhut.

“Ribut yang berlaku di Perlis tiada kena dengan Taufan Mangkhut kerana taufan itu sudah berakhir petang semalam.

“Fenomena ini dipanggil garis badai dan ia bukan sesuatu yang luar biasa. Fenomena ini berlaku ketika pergerakan angin monsun barat daya yang dijangka berakhir penghujung bulan ini.

“Pecutan angin yang kuat berlaku malam tadi, dipengaruhi ribut petir berikutan ia berada dalam satu garisan sama yang bergerak dari laut ke darat, ” katanya.

Dalam kejadian ribut di Perlis malam tadi, empat pengguna jalan raya maut akibat kemalangan, manakala ratusan rumah dan sekolah rosak akibat dibadai angin kencang.

Pada masa sama, keadaan angin kuat akibat fenomena garis badai itu turut melanda Kedah, Pulau Pinang dan perairan Sabah, tetapi ia tidak sekuat seperti yang berlaku di Perlis.

Sehubungan itu, Mohd Hisham berkata, pihaknya sentiasa memantau fenomena ini termasuk mengeluarkan amaran jika keadaan cuaca dijangka boleh menjadi buruk.

“Ribut ini bukan berlaku setiap hari, namun boleh berlaku dari semasa ke semasa sehingga hujung bulan ini.

“Kita sudah mengeluarkan amaran berkenaan pergerakan ribut petir di negeri di utara dan kita akan terus memantau keadaan ini,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang berlakunya fenomena ini, penduduk di negeri utara dinasihati supaya berwaspada dengan segera mencari tempat berlindung yang kukuh sebaik sahaja melihat tanda ribut petir berlaku.

“Cari tempat berlindung yang kukuh dan bukannya di bawah pokok atau khemah kerana kita tahu pokok pun boleh tumbang jika angin kencang berlaku, ” katanya.

Advertisements