KUALA LUMPUR: Pengendali pasaran e-dagang, Carousell Malaysia menjalin kerjasama dengan penyedia perkhidmatan e-dompet Boost dan syarikat logistik, PostCo, dalam usaha memenuhi permintaan khidmat pembayaran dan logistik di seluruh Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Negara Carousell, Tang Siew Wai berkata kerjasama itu dimeterai pada bulan lepas membabitkan urus niaga promosi silang yang akan diadakan sehingga akhir September ini.

Menurutnya, promosi itu termasuk pemberian ganjaran tunai bagi pembelian di Carousell yang membabitkan Boost selain kadar penghantaran khas untuk pelanggan yang membuat pilihan penghantaran menerusi PostCo.

“Ini adalah kesempatan untuk menyediakan perkhidmatan serba lengkap kepada para pengguna kami. Malah, kami akan terus meninjau peluang untuk menambah baik pasaran serta khidmat kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Carousell yang dibuka pada 2012, kini bertapak di tujuh pasaran iaitu Singapura, Malaysia, Indonesia, Filipina, Hong Kong, Taiwan dan Australia dengan 158 juta penyenaraian produk dan perkhidmatan. 

Advertisements